Keluhan wanita Islam yang ditindas disebabkan amalan budaya dilihat bersifat berat sebelah dan sistem perundangan tidak praktikal sehingga interpretasi undang-undang yang dipakai memberikan impak negatif terhadap wanita. Persepsi ini juga dipengaruhi oleh penulisan-penulisan orientalis Barat yang mentafsirkan kedudukan wanita Islam melalui kaca mata amalan budaya yang menyebabkan agama Islam dianggap sebagai agama yang menindas kaum wanita. Kekeliruan ini ditambah pula oleh deklarasi antarabangsa seperti Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) yang dilihat mengutamakan konsep kesamaan gender dan menjadikan undang-undang Islam sebagai halangan utama bagi pelaksanaan inti pati deklarasi tersebut.
Adat
Kesemua masalah yang disebutkan bukan ajaran Islam tetapi amalan budaya hidup sebahagian daripada masyarakat yang tidak mengamalkan prinsip Islam sebenar. Undang-undang Islam telah mengangkat darjat wanita dengan memansuhkan amalan tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup pada zaman jahiliah. Al-Quran menyatakan bahawa wanita mempunyai hak untuk hidup sama seperti lelaki dan ini bertepatan dengan maqasid al-syari'ah, iaitu memelihara nyawa. Tindakan membunuh anak perempuan disebabkan kebimbangan terhadap rasa malu, keaiban dan kemiskinan telah ditempelak oleh al-Qur'an dengan amat keras dalam surah al Nahl, ayat 57 hingga 59.
Daripada hadis yang telah diriwayatkan dalam himpunan Sunan Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda: "Jika sesiapa mempunyai anak perempuan dan tidak menanamnya hidup-hidup atau menghinanya, atau lebih mengutamakan anak lelaki berbanding dengan anak perempuan itu, Allah akan memasukkannya ke syurga." Hadis ini tidak menyebut tentang anak lelaki. Malah, ulama menekankan kepentingan tanggungjawab keibubapaan bagi memberikan penjagaan kepada seseorang anak sejak dalam rahim ibu lagi.
Justeru, bapa sebagai penyumbang kewangan utama perlu memastikan ibu memperoleh makanan yang berkhasiat dan sihat pula daripada aspek rohani serta jiwanya. Umur perkahwinan Tugas ini berterusan sehinggalah anak tersebut lahir dan kedua-dua penjaganya bertanggungjawab untuk memberikan penjagaan dan perlindungan kepadanya sehinggalah mencapai umur perkahwinan (umur wanita boleh membuat keputusan terhadap kepentingan dirinya). Selepas perkahwinan pula, hak penjagaan diserahkan kepada suaminya. Jika tidak, dia terus berada dalam penjagaan bapa atau penjaganya jika tidak berkahwin atau bercerai.
Prinsip yang diasaskan pada konsep kebajikan atau kepentingan anak (maslahah) telah diasaskan dengan sempurna dalam undang-undang Islam sebagaimana yang terkandung di dalam kitab-kitab Fiqah yang masyhur seperti tulisan alNawawi, Syed Sabiq dan sebagainya. Ia mempertanggungjawabkan ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak termasuklah perkembangan dan keperluan mereka. Ibu bapa juga bertanggungjawab terhadap penjagaan harian, kawalan dan membuat keputusan dalam semua urusan disebabkan ketidakmampuan kanak-kanak tersebut untuk membuat keputusan bagi dirinya.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menggalakkan pemupukan minda dengan memberikan pendidikan yang sewajarnya sebagai persediaan kepada kanak-kanak tersebut pada masa hadapan. Atas sebab inilah, Rasulullah SAW mengajar ibu bapa supaya mendidik anak mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun, iaitu umur mumayyiz dan membimbing mereka dengan penuh kesabaran dan secara berterusan.
No comments:
Post a Comment